May 29, 2025
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memandang serius tindakan unilateral Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif baharu terhadap produk dari Malaysia. Langkah ini bukan sahaja memberi tekanan terhadap ekonomi negara, malah mencerminkan pendekatan hegemoni kuasa besar yang melemahkan prinsip keadilan dalam sistem ekonomi global. Tindakan sedemikian menzahirkan corak hubungan antarabangsa yang tidak seimbang, di mana kuasa besar menggunakan kekuatan ekonominya untuk mendikte aturan dan peraturan dunia, tanpa mengambil kira kepentingan negara membangun seperti Malaysia.
Pada April 2025, Amerika Syarikat telah mengumumkan pengenalan tarif baharu yang dinamakan sebagai “Liberation Day Tariffs”, dengan kadar asas sebanyak 10% dikenakan ke atas hampir semua negara, dan khususnya 24% terhadap produk Malaysia. Langkah ini, yang didakwa sebagai respon terhadap lebihan dagangan Malaysia dan dakwaan tarif tidak seimbang oleh pihak Malaysia terhadap barangan AS, sebenarnya merupakan sebahagian daripada strategi ekonomi bersifat proteksionis dan bersifat menekan. Ia bukan sahaja melemahkan semangat kerjasama dua hala yang telah lama terbina, malah menjejaskan kestabilan ekonomi negara-negara rakan dagang.
Kesan daripada pengenaan tarif ini amat nyata dan membimbangkan. Sektor eksport Malaysia, terutamanya dalam bidang elektronik dan semikonduktor yang menjadi tulang belakang ekonomi negara, menerima tamparan hebat. Daya saing produk tempatan di pasaran Amerika Syarikat akan merosot, memberi kesan kepada pelaburan asing yang bergantung kepada rantaian bekalan global. Tambahan pula, kesan domino terhadap pengurangan pengeluaran dan eksport bakal menyebabkan kehilangan pekerjaan dalam sektor perkilangan dan eksport. Dalam jangka masa panjang, ini boleh melambatkan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.
Namun begitu, isu ini perlu dilihat lebih luas daripada sekadar soal ekonomi. Ia menyentuh secara langsung persoalan kedaulatan negara dalam merangka dasar perdagangan tanpa tekanan dari kuasa luar. Tindakan sepihak ini menimbulkan persoalan besar tentang keadilan dan legitimasi sistem perdagangan antarabangsa sedia ada yang semakin cenderung memihak kepada negara-negara kuasa besar. Dalam hal ini, PKPIM menegaskan bahawa Malaysia harus memimpin usaha memperkukuh kerjasama serantau, khususnya melalui ASEAN, sebagai blok yang mampu bertindak balas terhadap tekanan unilateral seperti ini. Begitu juga dengan penglibatan dalam platform OIC perlu diperkasa sebagai satu suara kolektif dunia Islam menentang ketidakadilan ekonomi global.
Malaysia juga wajar mempelbagaikan pasaran eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana kuasa besar. Usaha untuk membangunkan semula industri strategik dalam negara harus disandarkan kepada prinsip berdikari, kelestarian, dan inovasi tempatan. Ini sejajar dengan semangat membina ekonomi yang tahan uji dan tidak mudah dipengaruhi oleh perubahan luar yang bersifat hegemonik.
PKPIM percaya bahawa keadilan ekonomi merupakan sebahagian daripada keadilan sosial dan tergolong dalam kerangka maqasid syariah. Tekanan ekonomi seperti yang dikenakan oleh Amerika Syarikat bukan sekadar isu berkaitan nombor dan dagangan, tetapi turut menyentuh maruah negara, prinsip kedaulatan, dan keupayaan rakyat untuk berdiri megah di pentas antarabangsa. Justeru, kami akan terus bersuara, menyatakan pendirian dengan tegas, dan mendokong usaha mana-mana pihak yang memperjuangkan sistem perdagangan dunia yang adil dan saksama. Malaysia tidak boleh tunduk kepada tekanan kuasa besar yang melanggari prinsip keadilan sejagat.
Hidup Biar Berjasa!
MUHAMMAD KHALIL BIN SAAT
Exco Antarabangsa
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Artikel ini menceritakan tentang kepentingan Gerakan Pelajar Islam dalam meneladani kisah para anbiya' dalam meneguhkan moral serta fundamental setiap individu supaya kita dapat merealisasikan visi, misi dan slogan 'Hidup Biar Berjasa'. (Siri ini membawakan kisah Nabi Adam AS)
PKPIM bersama YB Senator Dr. Zulkifli Hassan, Timbalan Menteri Agama telah menganjurkan program bacaan Yaasin dan solat hajat di surau-surau dan sekolah-sekolah di seluruh negara, memohon perlindungan dan pembebasan untuk saudara-saudara kita di Palestin.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan tegas mengecam kenyataan dan cadangan Donald Trump baru-baru ini yang mencadangkan pemindahan rakyat Palestin dari Gaza ke negara jiran seperti Mesir dan Jordan. Cadangan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah melanggar hak asasi
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk mewajibkan pelajar latihan TVET GiatMARA melalui ujian khas bacaan Al-Fatihah dan Fardhu Ain. Inisiatif ini adalah langkah yang amat bertepatan bagi memastikan pelajar bukan sahaja cemerl
Artikel ini membincangkan sumbangan Prof. Dr. Jasser Auda, seorang sarjana Islam kontemporari yang terkenal dalam bidang Maqasid al-Shariah dan pemikiran Islam moden. Fokus utama kajian ini adalah pendekatan Tafsir Maqasidi, yang menekankan hikmah dan tujuan syariah dalam memahami al-Quran.
Dalam ajaran Islam, adab yang mencakupi akhlak, etika, dan tingkah laku mulia dianggap sebagai asas terpenting dalam pembentukan seorang insan. Bahkan, ia didahulukan sebelum ilmu. Kisah iblis yang diusir dari syurga menjadi peringatan jelas bahawa ilmu tanpa adab bukan sahaja tidak membawa manfaat,